skip to main |
skip to sidebar
“Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” - Suran An Nur ayat 31.
Di sini ingin disentuh tentang pemakaian tudung kaum wanita masa kini sebagai renungan bagi wanita Islam. Bila wanita menjaga auratnya daripada pandangan lelaki bukan muhrim, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.
Jika dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti emas,intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.
Menyentuh berkenaan pakaian wanita, Alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah sehinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat.
Walaupun pelbagai gaya tudung diperagakan dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, menampakkan jambul, menonjolkan dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat atau memakai t-shirt berlengan pendek dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.
Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam televisyen, majalah dan surat khabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita muslimah.
Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita mukmin. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadi daya tarikan kepada lelaki bukan muhrimnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.
Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membenihkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.
Kesimpulannya, tudung yang dipakai langsung tidak membuahkan rasa kehambaan. Tidak juga merasakan diri hina, banyak berdosa dengan Allah mahupun sesama manusia. Malah tidak juga terasa bahawa menegakkan syariat Islam dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu dilaksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?
Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar berduaan dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhrimnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.
Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin mengikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.
Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. Langsung tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka dari sudut pemakaian dan akhlak.
Lihatlah betapa besarnya peranan dan fungsi tudung untuk berdakwah. Selama ini kita tidak sedar diri kita adalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.
Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari semasa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat kepada orang lain. Islam itu bermula dengan diri kita sendiri.
Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi pada masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari semasa ke semasa. Tudung di luar tudung juga yang di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.
Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslimah. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan seseorang itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat adalah satu dosa yang lain.
Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar dan memaki hamun. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah menetapkan jodoh masing-masing. Carilah jodoh mengikut landasan syariat yang betul. Ajaran Islam sudah menggariskannya dengan cukup tersusun kemas. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah.
Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan iman dan perbanyakkan amalan-amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu sibuk belajar atau bekerja. Cuba didik diri menjadi seorang orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara yang meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. Jaga tatatertib dan adab sebagai seorang muslimah. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah.
Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang Islam dengan berdakwah melalui pakaian.
Diedit dan diolah daripada Mutiara Hikmah-Darul Nu'man
TEHERAN: Pihak berkuasa Iran bertindak mengeluarkan lebih 1,000 amaran dan menangkap hampir 200 wanita dalam usaha baru memastikan golongan berkenaan mematuhi etika berpakaian Islam, kata pegawai polis di sini.
Langkah yang dilancarkan ke seluruh negara itu – diadakan setiap tahun menjelang musim panas – terutama mensasarkan wanita yang kot mereka dilihat terlalu ketat, berseluar panjang tidak menepati ukuran atau tudung yang longgar.Pasukan penguat kuasa menyerahkan amaran dan memberi panduan kepada wanita yang melanggar kod berpakaian di khalayak ramai. Sesiapa yang menentang arahan supaya menukar pakaian akan ditahan dan kemudian dijadikan subjek prosiding perundangan.“Sejak pelan itu bermula jam 10 pagi waktu tempatan Sabtu lalu, 1,347 wanita diberi amaran dan diberi garis panduan berpakaian Islam.
“Terdapat 170 tangkapan dibuat dan 58 daripadanya dibebaskan selepas membuat komitmen bertulis dan membetulkan penampilan mereka. Kes selebihnya, yang sudah ada rekod, diserahkan kepada badan kehakiman,” kata ketua maklumat pasukan polis Teheran, Mehdi Ahmadi.Akhbar Iran menyiarkan gambar wanita berpakaian ketat dan berwarna warni diberi amaran di jalan raya di Teheran oleh pegawai polis wanita yang berpakaian bercadur ketika usaha itu bermula Sabtu lalu. Dua puluh kedai yang menjual pakaian disifatkan tidak bersesuaian turut diarahkan ditutup, kata Mehdi. Langkah itu bertujuan ‘memperbaiki keselamatan masyarakat dengan pendekatan keselamatan moral.’
“Tempohnya bergantung kepada bila masyarakat berasa tiada lagi isyarat seluar panjang yang pendek, kot ketat dan hijab nipis,” katanya.Pihak berkuasa berkata, usaha ‘hijab buruk’ itu bertujuan menggalakkan wanita berpakaian mengikut Islam dan ia lebih kepada mengeluarkan amaran berbanding menahan pesalah.Golongan konservatif memuji langkah itu sebagai perlu untuk mengekalkan moral ketika wanita di Teheran semakin berani bersuara mengenai apa yang boleh dipakai di khalayak ramai