POSTED BY Mohamad Fais Bin Salleh on 3:16 AM under
“Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” - Suran An Nur ayat 31.

Di sini ingin disentuh tentang pemakaian tudung kaum wanita masa kini sebagai renungan bagi wanita Islam. Bila wanita menjaga auratnya daripada pandangan lelaki bukan muhrim, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki. 

Jika dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti emas,intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia. 
POSTED BY Mohamad Fais Bin Salleh on 3:12 AM under
TEHERAN: Pihak berkuasa Iran bertindak mengeluarkan lebih 1,000 amaran dan menangkap hampir 200 wanita dalam usaha baru memastikan golongan berkenaan mematuhi etika berpakaian Islam, kata pegawai polis di sini.

Langkah yang dilancarkan ke seluruh negara itu – diadakan setiap tahun menjelang musim panas – terutama mensasarkan wanita yang kot mereka dilihat terlalu ketat, berseluar panjang tidak menepati ukuran atau tudung yang longgar.Pasukan penguat kuasa menyerahkan amaran dan memberi panduan kepada wanita yang melanggar kod berpakaian di khalayak ramai. Sesiapa yang menentang arahan supaya menukar pakaian akan ditahan dan kemudian dijadikan subjek prosiding perundangan.“Sejak pelan itu bermula jam 10 pagi waktu 
tempatan Sabtu lalu, 1,347 wanita diberi amaran dan diberi garis panduan berpakaian Islam.

“Terdapat 170 tangkapan dibuat dan 58 daripadanya dibebaskan selepas membuat komitmen bertulis dan membetulkan penampilan mereka. Kes selebihnya, yang sudah ada rekod, diserahkan kepada badan kehakiman,” kata ketua maklumat pasukan polis Teheran, Mehdi Ahmadi.Akhbar Iran menyiarkan gambar wanita berpakaian ketat dan berwarna warni diberi amaran di jalan raya di Teheran oleh pegawai polis wanita yang berpakaian bercadur ketika usaha itu bermula Sabtu lalu. Dua puluh kedai yang menjual pakaian disifatkan tidak bersesuaian turut diarahkan ditutup, kata Mehdi. Langkah itu bertujuan ‘memperbaiki keselamatan masyarakat dengan pendekatan keselamatan moral.’

“Tempohnya bergantung kepada bila masyarakat berasa tiada lagi isyarat seluar panjang yang pendek, kot ketat dan hijab nipis,” katanya.Pihak berkuasa berkata, usaha ‘hijab buruk’ itu bertujuan menggalakkan wanita berpakaian mengikut Islam dan ia lebih kepada mengeluarkan amaran berbanding menahan pesalah.Golongan konservatif memuji langkah itu sebagai perlu untuk mengekalkan moral ketika wanita di Teheran semakin berani bersuara mengenai apa yang boleh dipakai di khalayak ramai